Thursday, October 22, 2009

MELAPOR DIRI PADA DIRI SENDIRI

Kalau diibaratkan kedai, dah lama blog saya ni 'bungkus'. Mana tidaknya, kedai harus dibuka hari-hari, tapi blog ni 'dibuka' tiga, empat, lima, enam, atau kadang-kadang berbelas hari sekali.

Isteri pun kalau suaminya bertanya khabar berbelas kali sehari macam tu, lama-kelamaan mungkin lari. Kalau tak pun, mungkin si suami tu yang kena lari.

Tapi tak apalah. Sekurang-kurangnya, saya masih suami yang mahu bertanya tentang isterinya. Ada orang tu jangan kata nak tanya khabar isteri, isteri tanya khabar dia pun, dia marah. Tapi, itu kalau isteri yang tanya la. Kalau perempuan lain yang tanya, lain la punya ceritanya. Soalan setakat 'apa khabar sekarang?", jawapannya mungkin sama panjang dengan skrip iklan Petronas. Tutur bahasanya pula...heh!

Berbalik tentang saya. Sekarang sedang bergelut dengan sesuatu. Sedang nak buat sesuatu yang dah lama sangat dah saya idam-idamkan. Sesuatu yang akan saya pastikan, dengan izin Allah, akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat.

Tunggulah...

Friday, October 16, 2009

SIDANG UMNO PUNYA PASAL

Kelmarin dulu gatal-gatal ke The Mall.

Jumpa kawan-kawan yang datang bersempena sidang UMNO. Ada yang datang sebagai perwakilan, dan tak kurang yang sebagai pelancong.

Macam selalu The Mall meriah kalau musim UMNO bersidang. Kalau tidak, pudar layu; jauh kalau dibandingkan dengan sepuluh lima belas tahun dahulu, ketika Creative Corner masih ada di situ.

Dan macam selalu juga, peniaga-peniaga di The Mall tumpang mendapat limpahan rezeki. Tak melimpah apa lagi kalau harga lauk pauk di Medan Hang Tuah tu tiba-tiba saja melompat naik.

Minggu sebelumnya saya makan nasi putih dengan kambing dan telur ikan goreng (kepada kawan-kawan yang ada darah tinggi, tolong jangan kecik hati); harganya cuma RM7. Dan kelmarin dulu ia melompat menjadi RM10. Nasinya masih sama banyak dan sama putih; kambing dan telur ikan tu pun lebih kurang sama besar dengan yang sebelumnya. Gerainya pun masih yang sama. Tak tahulah pula kalau kelmarin dulu harga kambing, telur ikan atau rempah cabai naik harga.

Hari ni saya nak pergi lagi; nak makan nasi benda yang sama, nak tengok pula kena bayar berapa...

Wednesday, October 14, 2009

DULU RM24...HARI TU RM40

Isnin, 12 Oktober hari tu sehari suntuk saya ke Crowne Plaza, di Jalan Sultan Ismail. Ada majlis.

Dulu-dulu, waktu hotel tu bernama Hilton, saya kerap juga ke situ. Selalunya temankan Jaafar Taib minum kopi, atau temankan anak dara orang duduk bersembang. Dan kerana kerapnya ke situ banyak juga la kakitangan di coffee housenya yang sempat saya kenal.

Ada satu peristiwa kelat-kelat manis yang saya pernah saya alami di Hilton. Tahunnya saya tak ingat. Tapi dah lama dah. Mungkin sekitar 15 tahun lalu.

Satu hari tu saya ke situ untuk berjumpa kawan. Kemudian entah macam mana, saya ikut kawan itu keluar 'lunch' di tempat lain. Naik kereta dia, dan tinggalkan kereta saya di situ.
Dari tempat makan tengah hari, kami ke tempat lain dan berjumpa kawan lain. Lewat petang baru dia hantar saya balik ke Hilton. Terjumpa pula Jaafar di situ dan bermulalah sesi duduk bersembang (berbincang?) sampai lewat malam.

Bila nak balik, baru perasan yang duit cuma tinggal RM26. Masa tu bukan senang nak cari mesin ATM macam sekarang. Kalau mesin tu ada pun, duit saya belum tentu ada di dalamnya.

Dan waktu nak keluar saya lupa nak minta coffee house copkan tiket parking - dan selalunya saya memang tak kisah pun. Akibatnya terpaksalah saya serahkan RM24 daripada duit yang ada tu kepada penjaga 'tol' parking. Tinggal RM2.

Saya sangka itulah bayaran parking paling tinggi pernah saya bayar di muka bumi Malaysia ini.

Rupa-rupanya tidak.

Isnin hari tu, di hotel yang sama, yang dah berbeza namanya, saya letakkan kereta seawal jam 9 pagi. Dan nak keluar dari situ 9 jam kemudian, saya terpaksa bayar duit parking sebanyak RM40 - jumlah yang cukup untuk membeli 80 kotak 'paper clip', yang setiapnya satunya mengandungi 100 klip; cukup untuk kegunaan saya seumur hidup!

Tuesday, October 13, 2009

RM35 ONLY!...part II

Dulu saya banyak berkawan dengan orang politik. Sebab itu agaknya janji saya pun jadi tak berapa betul. Kalau ikut posting sebelum ni, saya berjanji 'esok lusa' saya akan tulis sesuatu tentang RM35 sekeping tu.

Tetapi nampaknya hari ni bukan lagi 'lusa', sebaliknya dah jadi berkali-kali lusa.
Nak buat macam mana, saya pun Melayu juga...

Perkara lain yang tersirat di sebalik semua ini ialah pantasnya masa berlalu. Gelap cerah, gelap cerah dah sembilan hari rupanya saya tinggalkan blog ini. Patutlah saya tak sedar pun umur saya tiba-tiba menjadi sebanyak sekarang! (Tapi cermin pun bersalah juga; setiap kali berdiri menghadapnya, saya tak pernah merasa umur saya sebanyak ini).

Berbalik tentang cerita kawan saya (kita) dan RM35 itu.

Saya hanya boleh bersimpati dengan keluh kisahnya. Sama dengan saya bersimpati pada keluh kisah abnormalsuam dalam komennya. Ya, setakat bersimpati kerana nasib saya pun tak banyak bezanya.

Diakui atau tidak, dunia penerbitan di Malaysia banyak berubah dalam tempoh suku abad yang terakhir ini. Ia menjadi semakin rancak, lebih-lebih lagi dengan bantuan teknologi yang memungkinkan hampir sesiapa sahaja boleh menjadi penerbit.

Dua tiga dekad lalu, untuk menerbitkan sebuah majalah, anda memerlukan sekurang-kurangnya tiga atau empat orang kakitangan. Paling tidak pun, mesti kena ada typesetter dan layout artist. Kalau nak buat sendiri, mesti terkangkang. Artikel bukannya boleh main 'key-in' terus macam sekarang. Kena ketuk mesin taip dulu. Kemudian kena diserah kepada typesetter untuk di'typeset'. Banyak kerja.

Sekarang ni, apek jual ikan pun boleh terbitkan majalah sendiri. Semua main ketuk dan klik. Lebih mudah daripada makan kacang.

Yang tak banyak berubah ialah nasib karyawan. Tahun 1980-an dulu anda mungkin dibayar RM100 untuk sebuah artikel yang cukup baik, tetapi sekarang kalau anda mendapat bayaran yang sama, ia dah terlalu baik. Ramai yang mendapat kurang daripada itu. Dah la duit susut nilai daripada semasa ke semasa, bayaran yang diterima pun susut juga. Dua kali naya la tu.

Apabila mengambil alih teraju editorial GG, antara perkara yang saya cadangkan, kemudian diterima oleh para pembesarnya ialah, menggantikan amalan membayar gaji tetap kepada kartunis/pelukis dan menggantikannya dengan skim elaun + honororium. Kalau mengikut skim asal, mereka yang berkenaan menerima gaji tetap. Buatlah kerja banyak mana pun, gajinya banyak tu juga. Terpaksa bergantung pada kenaikan; sama ada setahun sekali atau mengikut pertimbangan dan kesesuaian.

Di bawah skim baru, karyawan-karyawan berkenaan hanya dibayar elaun asas; paling tidak, memadai untuk menampung sewa bilik. Untuk mendapat duit lebih, dia harus bekerja lebih. Dan untuk waktu itu, the sky is the limit.

Dengan cara itu, pada fikiran saya, kartunis dan pelukis akan mendapat lebih imbalan daripada hasil kerja mereka. Lebih adil untuk mereka juga. Yang rajin dapat banyak, yang malas, tanggunglah sendiri.

Ada dua orang yang saya ketahui sering mendahului kawan-kawan lain 'membuat duit'. Pertama, Allahyarham Rashid Asmawi dan kedua, Aza (belum Allahyarham lagi...)
Rashid pernah meletakkan karya yang nilai 'claim'nya RM12,000. Aza pun selalu main ribu-ribu. Begitu juga dengan beberapa orang lain yang 'mengekori' mereka. Pendek kata, jika bergaji tetap, belum tentu mereka akan menerima gaji sebanyak itu.

Pada zaman kemuncaknya, GG membayar sehingga RM180 bagi setiap halaman karya. Yang di peringkat pertengahan, antara RM120-RM150, dan yang paling biasa pun RM100. Sebagai orang yang cukup bersungguh-sungguh untuk menaikkan standard karya dan karyawan di Malaysia, bos dan sahabat saya, Jaafar Taib, tidak pernah lokek dalam hal ini. Dia sentiasa cuba membayar setimpal dengan hasil kerja (selalunya 'lebih daripada setimpal').

Tetapi semua itu tinggal kenangan. Jaafar tidak mampu bertahan. Karut-marut dalam dunia penerbitan sama hodohnya dengan dunia politik. Malah, kadang-kadang lebih hodoh. Saya malas nak menulis tentang ini; tentang dengki khianat, tamak haloba, dendam kesumat, bodoh sombong, yang menyerkupi dunia penerbitan sejak dahulu sehingga kini.

Banyak penerbit yang menyimpan impian seperti Jaafar; untuk mengubah nasib industri yang dilibatinya, tetapi jarang ada yang terlepas daripada menjadi korban dunia yang hanya menguntungkan pencetak dan pengedar itu.

Dalam hal ini, saya selalu membuat perbandingan yang mudah; dari dahulu, saya mengenai 18 penerbit secara dekat dan hanya empat yang bertahan sehingga sekarang. Selebihnya lenyap begitu sahaja. Dan sepanjang tempoh yang sama, saya mengenali lapan atau sembilan pengedar; daripada jumlah itu hanya dua yang lenyap. Yang lain, kalau tak bertambah kaya pun, gerenti bertambah senang.

Jadi, fikir-fikirlah sendiri.

Dan kerana karyawan itu selalunya bernaung di bawah penerbit, apabila penerbit semput, jangan haraplah si karyawan boleh bernyawa lancar. Itu sebabnya saya tidak akan terkejut kalau suatu masa ada seseorang, yang berpuluh tahun pengalamannya, mengadu yang karyanya cuma dibayar RM3.50 sekeping!

Sunday, October 4, 2009

RM35 ONLY!

Seorang kawan saya (kawan kita -kerana ramai yang mengenalinya), yang tak nak saya sebutkan nama sebab takut nilai pasarannya semakin turun, mengeluh. Lebih kurang begini bunyinya: 'Ada ka patut dia orang bayar kartun saya RM35 saja sekeping. Kaler pulak tu...'
Saya juga tak nak sebut dia orang tu siapa.
Saya nak tulis sikit tentang hal ini esok atau lusa. Hari ni tak sempat. Banyak sangat 'dateline' menanti. Saya selesaikan dulu.
Tapi saya berjanji, saya akan tulis...

Thursday, October 1, 2009

SAYA, KAD PENGENALAN DAN RM10

Saya ini insan yang lemah - sangat lemah, lebih-lebih dalam bab berbaris untuk sesuatu urusan. Bukan sekali dua saya membatalkan hasrat untuk berurusan di sesuatu kaunter hanya kerana barisannya agak panjang. Dan dah entah berapa puluh kali saya meninggalkan barisan. Maksudnya, selepas berbaris sejurus, dek kerana tak tahan daulat, saya pun blah.

Bagaimanapun sekarang ni masalah itu dah berkurangan sedikit sebab sistem berbaris dah diganti dengan sistem bernombor. Tu pun kadang-kadang selepas ambik nombor, saya blah juga disebabkan merasa giliran saya masih terlalu lama.

Tabiat buruk itulah menjadi salah satu sebab kenapa baru semalam saya menukar kad pengenalan saya. Sebelum ini, selepas bertahun-tahun orang menukarkan kad pengenalan daripada yang kehijau-hijauan tu kepada yang kononnya bermutu tinggi, saya masih pi mai pi mai dengan kad pengenalan lama saya. Mula-mula dulu, bila tarikh permohonan untuk menukar kad pengenalan baru ditutup, cuak la juga. Takut kad pengenalan lama tu tak 'laku'. Tapi bila mendapati ia laku macam biasa, saya pun jadi kaduk naik junjung la...

Semalam, semasa ke pejabat pendaftaran di Taman Melawati saya duk-dak juga. Dok terbayang berapa banyak la nak kena denda.

Sebaik sampai, saya terus ambil nombor. 1056. Belum pun sempat duduk, nombor itu dah dipanggil. Maka saya pun hampiri petugas di kaunter. Awek. Kalau sepuluh lima belas tahun dulu tentu saya ada masalah besar. Silap-silap tiap-tiap hari saya melilau depan pejabat tu. Hehe.

Dengan rendah hatinya saya 'serahkan diri' kepada petugas itu. Baik orangnya. Manis. Ya, baik dan manis. Manis dan baik.

Saya katakan padanya yang saya ni 'dah buat salah besar', jadi saya nak tau berapa besar pula denda yang akan dikenakan.

"Salah apa, encik?" dia bertanya. Lembut suaranya. Ya, lembut, baik dan manis. Manis, baik dan lembut. Baik, manis dan lembut.

Saya keluarkan kad pengenalan, unjukkan kepadanya sambil berkata, "tak tukar benda ni."

"Sekejap," katanya. Diambilnya kad pengenalan saya, dan tangannya pun mulalah mengklik-klik tetikus.

"RM 10 aje encik," katanya kemudian.

Haaaah?! Saya terkedu. Ingat kut silap dengar, tapi rupa-rupanya memang itulah angkanya. Heh, kalau macam tu kena tukar kad tu seminggu sekali pun rasa-rasanya saya sanggup.

RM10. Memang cuma RM10.

Heh, tak rugi rupanya saya tak berbaris berasak-asak dengan segala macam orang semasa 'operasi tukar kad pengenalan' berlangsung dua tiga tahun yang lalu.

Dengan hanya RM10 saya terselamat daripada berdiri merungut-rungut, menyumpah-nyumpah dengan muka yang sangat masam.

Tak sangka, tabiat buruk tak suka berbaris itu ada manfaatnya untuk saya. Hehehe...

Monday, September 28, 2009

SAYA, TELUR REBUS DAN GARAM

Satu perkara yang saya suka tentang diri saya ialah saya suka makan. Beruntung rasanya kalau nak dibanding dengan kawan-kawan yang tak suka makan.

Alhamdulillah, sampai sekarang saya masih mempunyai selera yang baik. Lebih penting lagi, saya masih boleh makan apa sahaja yang halal dan kena dengan selera. Belum perlu berpantang. Esok lusa, wallahualam.

Saya anak kampung. Kalau dulu-dulu terasa sangat banatnya kampung saya itu. Mana tidaknya, kalau nak ke Alor Setar, kadang-kadang empat jam baru sampai - tiga jam tunggu bas, sejam lagi duduk dalam bas yang 'sat-sat berhenti, sat-sat berhenti' untuk mengambil penumpang.

Sekarang, kampung itu terasa dekat dengan bandar. Yalah, jaraknya pun cuma 32km. Kalau henjut macam drebar Formula 1, dalam sepuluh minit sampai la. Kalau tak sampai di Alor Setar, insya Allah sampai di dalam bendang yang memang banyak terdapat di kiri kanan jalan.

Sebagai orang kampung, selera saya sangat terikat dengan segala yang kekampungan. Walaupun arwah ayah 'orang moden' (yang paling moden di kampung saya ketika itu kerana dia satu-satunya yang bekerja makan gaji dengan kerajaan), saya tetap kampung. Emak dan ayah tak berapa gemar ikan darat - emak tak makan haruan, ayah tak makan keli; tetapi saya hantu ikan bendang dan ikan sungai. Mungkin kerana sebahagian daripada fasa pertama hidup, saya dibesarkan oleh arwah nenek dan emak saudara (juga arwah).

Dan saya nak bercerita tentang makanan kampung kali ini. Sebelum itu perlu disebut, saya manusia yang 'enjoy' sekali jenis makanan; bagilah pasta, steak, yong tau fu, nachos, kebab atau apa pun, semuanya saya balun sehingga menjilat pinggan. Tapi yang berada di tempat teratas tentu sahaja nasi kandar. Bagaimanapun, saya tak berkenan nasi kandar moden yang berselerak di restoren-restoren besar sekarang ini. Selera saya lebih tertumpu pada nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, tak kiralah di Kuddu, di Ibramsha atau di kedai kawan saya yang berdepan dengan Sogo itu. Bubuh telur ikan, udang galah atau paling koman pun daging kicap dengan telur rebus plus sebiji cili hijau yang segar bugar, puhhhh...

Kalau makanan kampung, semuanya berada dalam kategori 'saya paling suka'. Sampai sekarang, sekurang-kurangnya sebulan sekali saya beli ikan haruan dari pasar tani; menu kegemaran; bakar dan cicah air asam yang dicampur sedikit belacan. Semudah itu. Menu sampingan, gulai dengan ubi kayu atau goreng begitu sahaja. InsyaAllah setakat tiga empat pinggan nasi akan 'selamat'.

Saya tak berapa gemar ikan keli sekarang ni. Kalau keli sawah, yang memang saya kenal rupa bentuknya, saya memang tak akan tolak. Tapi kalau keli kolam, saya tak berselera. Bukan apa, sering terganggu dengan bayangan sebuah reban ayam di atas kolam ikan keli yang pernah saya lihat suatu masa dahulu...

Dahulu, setiap kali balik kampung, memang kelilah sasaran saya. Budak-budak kampung saya ketika itu masih rajin memancing di sawah. Jadi kalau saya balik, kepada sayalah keli-keli itu sering 'dijual'. Sesekali saya ajak kawan-kawan sekampung menjala. Mereka yang jala; saya sekadar jadi supir dan tukang bekal rokok, air minuman dan biskut.

Keli pun sama; saya suka dibakar tawar dan dicicah air asam. Selain itu masak asam pedas kampung, yang dicampur dengan sedikit beras goreng. Tapi kalau keli jerami (anak keli yang dahulunya sering terdapat dalam longgokan jerami) saya suka dimasak sayur air (rebus) dengan sedikit asam keping.

Semua masakan itu sebenarnya cukup simple kalau nak dibandingkan dengan masakan moden yang serba complicated. Dan yang lebih penting, ia juga lebih sedap - sekurang-kurangnya bagi saya.

Kenapa tiba-tiba saya tulis pasal makan?

Sebab malam ini tiba-tiba saya baru saja menikmati satu lagi lauk kegemaran saya; telur rebus dan garam!

Bagi yang mengenali saya dari dekat tentu cukup tahu tentang 'lauk kegemaran' saya yang satu ini. Selalunya kalau dah tak tahu apa nak dimakan, atau kurang berselera tengok itu ini, telur rebus dan garamlah yang akan menjadi lauk pilihan saya.

Sesimple itu?

Ya, memang simple. Sebab itu saya termasuk dalam kalangan suami yang mudah dibela. Dan sebab itu jugak la kut kenapa dulu-dulu orang berebut nak bersuamikan saya...hehehe